Followers

Thursday, April 5, 2012

Haid Mengikut Hukum-hakam Islam


   Wanita dilahirkan dengan pelbagai keistimewaan. Keistimewaan-keistimewaan inilah yang menjadikan seorang wanita itu tampak unik dan berharga. Pada kali ini, kita akan membincangkan beberapa permasalahan yang berkaitan dengan haid. Permasalahan yang sering dipersoalkan oleh kebanyakan kaum hawa.
Haid dari segi bahasa ialah mengalir.
Adapun dari segi istilah ahli Feqh, ia adalah darah yang mengalir keluar daripada kemaluan wanita dari dalam rahimnya (uterus) kerana semulajadi (bukan kerana penyakit atau kerana selepas melahirkan anak). Keluarnya pada masa tertentu apabila seorang wanita telah mencapai umur baligh.

Beberapa permasalahan berkaitan dengan haid :

1)      Apakah hukum memotong kuku dan rambut ketika haid? 
Soalan ini pernah ditujukan kepada Imam Ibn Taymiah di dalam kitabnya Ghiza’ Al-Albab, maka beliau menjawab : “ Tidak aku ketahui hukum makruh membuang rambut dan bulu dan kuku ketika junub, bahkan Nabi SAW bersabda : “ Sesungguhnya seorang mukmin tidak najis (tubuhnya) samada hidup ataupun mati”, malah Nabi memberitahu : “buangkan darimu bulu-bulu kufur (yang tidak dicukur semasa kafir) dan berkhatanlah (apabila masuk Islam)” maka arahan Nabi tidak menunjukkan sebarang tangguh cukur selepas mandi. Demikian juga diperintah wanita haid agar menyikat rambutnya semasa mandi junub, yang mana diketahui bahawa dengan menyikat ini boleh menggugurkan rambut (sebelum tamat mandi). Justeru itu, apa yang dikatakan sebenarnya tiada asalnya.

2)      Apakah hukum sekiranya terdapat warna kuning dan keruh, adakah diiktibarkan sebagai haid? 
Menurut ulama’, warna-warna darah haid ada lima, iaitu;
1. Hitam
2. Merah
3. Asyqar (warna antara merah dan kuning)
4. Kuning
5. Keruh

Kebiasaannya, permulaan haid berwarna hitam, kemudian berubah kepada merah, kemudian antara merah dan kuning, kemudian kuning dan akhirnya keruh (yakni antara putih dan hitam). Tanda habisnya darah haid ialah warna putih atau tiada sebarang warna. Apabila hilang semua warna-warna tadi sama ada kelihatan warna putih (seperti kapur putih) atau tidak kelihatan sebarang warna, maka itu tandanya darah haid telah habis. Ketika itu, barulah boleh mandi dan melakukan ibadah sebagaimana wanita yang suci.

Warna kuning dan keruh hanya dianggap haid pada hari-hari kebiasaan haid. Ini berpandukan kepada hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; para wanita sahabat menghantar kepadanya satu bekas kecil berisi kapas yang terdapat padanya kesan kuning dan keruh dari haid. (Tujuan mereka ialah meminta penjelasan darinya apakah mereka telah suci dari haid ataupun belum apabila yang masih tinggal pada faraj mereka hanyalah kesan kuning dan keruh). Lalu ‘Aisyah menjawab; “Janganlah kamu tergesa-gesa (mandi wajib) sehinggalah kamu melihat seperti kapur putih”. (Riwayat Imam al-Bukhari)

Adapun selepas hari kebiasaan haid (yakni pada hari-hari suci), maka warna kedua-duanya tidak dianggap darah haid. Ini berdasarkan kenyataan Ummu ‘Athiyyah r.a. yang menyebutkan; “Kami tidak menghitung warna keruh dan juga kuning selepas suci (yakni setelah habis haid) sebagai sesuatu (dari darah haid)”. (Riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)
3)      Apakah hukum membaca mashaf/Al-quran ketika haid?
Seorang wanita yang haid tidak boleh membaca Al-quran sama ada dengan memegang al-quran ataupun dengan hafalan kerana dalam keadaan berhadas besar. Orang yang berhadas besar seperti wanita haid dan orang yang berjunub tidak boleh membaca Al-quran kerana Nabi S.A.W tidak membaca Al-quran jika sedang junub. Tetapi jika dalam keadaan takut lupa dengan tidak mengulang hafalannya , maka dibolehkan membaca Al-quran dalam keadaan haid, kerana darurat.

4)      Apakah hukum bagi wanita haid memasuki masjid dengan tujuan menghadiri majlis ilmu?
Ulama berselisih pendapat tentang hukum wanita haid yang memasuki masjid. Ada yang membolehkan dan ada yang melarang. Pendapat yang tepat dan hampir betul ialah pendapat yang membolehkan wanita haid memasuki masjid. Antara dalilnya adalah:

a)      Ketika melaksanakan haji, Aisyah mengalami haid. Kemudian, Nabi S.A.W memerintahkan beliau untuk melakukan kegiatan apa pun, sebagaimana yang dilakukan jamaah haji, selain tawaf di Ka’bah. Riwayat ini disebutkan dalam Shahih Bukhari.

b)     Tidak terdapat larangan tegas agar wanita haid tidak boleh memasuki masjid. Dalil yang dijadikan alasan melarang wanita memasuki masjid, tidak terlepas daripada dua keadaan ini:
1. Tidak tegas menunjukkan larangan tersebut.
2. Sanadnya lemah, sehingga tidak boleh dijadikan dalil.

Rujukan :
1)      Buku 1500 Jawabul Mar’ah, karangan Ahmad Sya’ban Bin Ahmad.
2)      Buku Feqh Adillah, Jilid 1, karangan Dr. Wahbah Zuhaili.

Oleh:
Noor Hidayah Adzman
Tahun 3 Fiqh Wa Usuluh
Universiti Mu’tah

No comments:

Post a Comment