"Sebaik sahaja memasuki Syurga, aku mendengar telapak kaki dari hadapan. (Ternyata) aku melihat, Rumaiso', isteri Abu Thalhah."
-Hadith direkodkan oleh Rasulullah s.a.w.-
Rumah tangga dan keturunannya
-merupakan golongan Ansar
-berketurunan Najjariah dari bangsa Khazraj
-turut dikenali dengan panggilan Ummu Sulaim binti Malhan An-Najjari
-mempunyai pertalian darah dengan Nabi Muhammad s.a.w.
-abang kepada Rumaiso' bernama Haram Bin Malhan. Beliau adalah salah seoang di antara 70 Qari terulung.
Kisah kewafatan Haram Bin Malhan
Ketika peristiwa Telaga Maunah, golongan Musyrikin mengkhianati utusan-utusan Nabi Muhammad s.a.w. Manakala Haram adalah salah seorang daripada utusan-utusan itu. Beliaulah yang menyeru kaum Musyrikin itu sambil berdiri, "Sesungguhnya aku adalah utusan Rasulullah kepada kalian!"
Sejurus seruan itu, datan seorang lelaki dari arah belakangnya. Lantas lelaki itu menikam Haram dengan tikaman yang begitu menyayat hati. Tatkala Haram menyedari tusukan di badannya, beliau berkata, "Aku berjaya, dan begitu juga Tuhan Kaabah."
Dia seorang isteri
Ketika zaman jahiliah, Ummu Sulaim mendirikan rumah tangga bersama Malik bin Nadhar An-Najjari. Hasil daripada perkahwinan itu, beliau melahirkan seorang putera yang bernama Anas.
Tatkala Allah s.w.t. menghadirkan Islam ke atas bumi ini, Ummu Sulaim menganutinya bersama golongan terdahulu daripada Ansar. Selepas itu, beliau gia melaksanakan kewajipannya selaku seorang wanita Islam dalam menyebarkan dakwah.
Selaku seorang isteri yang menginginkan kebaikan buat suaminya, Ummu Sulaim mengajak Malik untuk turut memeluk agama Islam. Tetapi Malik sudah terbawa-bawa semangat jahiliahnya. Tidak lama kemudian, Malik meninggalkan Ummu Sulaim dan lari ke daerah Syam. Akhirnya, beliau menemui ajal di sana.
Ummu Sulaim pernah berkata, "Aku tidak akan bernikah selagi Anas belum matang dan mampu duduk dalam majlis." Ungkapan inilah yang menyebabkan Anas berkata selepas sekian lama, "Semoga Allah mengganjari ibuku dengan kebaikan. Sungguh, beliau memeliharaku dengan baik sekali."
Pada suatu hari, Abu Thalhah datang merisik Ummu Sulaim. Ketika ini, Abu Thalhah masih lagi seorang Musyrik. Beliau berkata kepada Ummu Sulaim, "Anas sudah mampu duduk di majlis dan berbicara."
Ummu Sulaim enjawab maksud perbicaraan itu, "Wahai Abu Thalhah, aku secara jujurnya sangat tertarik denganmu. Tiada siapa yang akan menolak insan sepertimu. Tetapi, kamu adalah seorang lelaki kafir. Manakala aku adalah wanita Muslimah. Justeru itu, aku tidak boleh menikahimu."
Abu Thalhah pelik dengan jawapan itu. Beliau berkata lagi, "Apa yang kamu maksudkan wahai Rumaiso'? Apakah kamu tida berminat pada emas dan perak?"
Dengan tegas dan yakin, Rumaiso' membalas pertanyaan itu, "Aku tidak ingin emas mahupun perak. Kamu menghambakan diri pada sesuatu yang kamu tidak mampu mendengar dan melihat. Apalagi memberi manfaat kepadamu. Kamu tidak malukah wahai Abu Thalhah? Kamu menyembah sebatang kayu yang diukir oleh hamba sesuatu kaum? Sekiranya kamu memeluk agama Islam, itulah yang menjadi maharku. Aku tidak mahu mahar yang selain daripada itu."
Kalimat yang penuh kekuatan pendirian dan keimanan ini akhirnya berjaya menggoncangkan pertimbangan Abu Thalhah selepas sekian lama. Kecenderungannya mula berubah. Abu Thalhah tidak mempunyai pilihan lain. Beliau bertanya, "Siapakah yang akan mengislamkan aku, wahai Rumaiso'?"
Rumaiso' menjawab, "Rasulullah s.a.w. yang akan membantumu dalam hal ini. Bersegeralah pergi kepadanya."
Lalu Abu Thalhah bergegas menuju ke arah Nabi Muhammad s.a.w. Ketika itu, Baginda sedang duduk bersama para sahabat. Sebaik sahaja Nabi Muhammad s.a.w. memandang Abu Thalhah, Baginda berkata kepada para sahabat, "Abu Thalhah sedang menghampiri kalian dan fajar Islam kelihatan pada matanya."
Akhirnya Abu Thalhah menganut Islam di hadapan Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian beliau memberitahu Baginda tentang kata-kata Rumaiso'. Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. terus mengahwinkan Abu Thalhah dan Rumaiso' sebagaimana syarat yang ditetapkan.
Wanita kebiasaannya berbangga dengan mahar yang tinggi. Tetapi dalam perkahwinan ini, langsung tiada dirham mahupun dinar yang dijadikan mahar. Bahkan Ummu Sulaim berjaya mencetuskan satu budaya baru. Hasilnya, sepanjang zaman masyarakat sentiasa menyanjungi Ummu Sulaim serta pendiriannya yang hebat.
Tsabit Al-Bannani berkata selepas merekodkan hadith tentang perkahwinan Ummu Sulaim, Kami tidak pernah mendengar mahar yang lebih mahal daripada ini. Ummu Sulaim redha bagi menjadikan Islam sebagai mahar pernikahannya."
No comments:
Post a Comment