Followers

Tuesday, July 7, 2015

Assalamualaikum dan salam ke 21 Ramadan,, hari ini saya nak kongsi mengenai Sister In Islam (SIS) yang dipetik dari ismaweb..:)

Bertaubatlah wahai ‘sister-sister’

Logo_Sisters_In_IslamPERTUBUHAN yang diharamkan dan dikategorikan sesat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) – Sisters In Islam atau SIS – terus mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah di negara ini, apabila kali ini  mengatakan al-Quran tidak menetapkan rambut sebagai aurat.
Demikianlah SIS yang kerap kali hanya mampu bercakap dan menghebahkah kenyataan songsang mereka di dalam dan kepada media yang fahamannya sealiran dengan mereka, yang sesungguhnya berusaha menghapuskan pandangan hadis, ulama, ijmak dan qiyas.
Namun, apabila diajak berdebat mereka terketar-ketar dan akhirnya menarik diri.
Anggota kumpulan ini yang masih tidak bertaubat setelah Jawatankuasa Fatwa Selangor memutuskan fahaman yang SIS amalkan iaitu liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
Bagi mengingatkan SIS dan umat Islam keseluruhannya pembaca boleh melayari laman sesawang keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor berhubung fahaman itu yang dikeluarkan pada 17 Julai 2014. DI SINI.
Begitu juga dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai 2006 telah membincangkan Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia.
Muzakarah berkenaan memutuskan bahawa gerakan pemikiran liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah.
Dalam aspek akidah, pemikiran golongan ini berkonsepkan pluralisme iaitu berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
Golongan ini juga membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
Selain itu aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah ‘message’ budaya Arab.
Banyak lagi keputusan yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung aliran pemikiran liberal dan pluralisme seperti yang diamalkan oleh SIS. Berdasarkan kepada ciri-ciri penyelewengan tersebut, muzakarah memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.
Siapalah SIS untuk mempertikaikan pandangan dan keputusan anggota Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Jawatankuasa Fatwa Selangor yang terdiri daripada ulama.
SIS perlu ingat bahawa Ahlul Sunnah Wal Jamaah di Malaysia berpegang kepada al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qias dalam menetapkan sesuatu keputusan.
Dalam hal rambut yang dikatakan oleh SIS tidak dimaklumkan dalam al-Quran sebagai aurat wanita, saya tidak mahu menyangkalnya di sini kerana mereka yang lebih arif seperti Ketua Penerangan Wanita ISMA, Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar dan Pegawai Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustaz Muhammad Firdaus Zalani, sudah membidas kenyataan itu. DI SINI dan DI SINI.
Malah, saya yakin jika ditanya kepada mana-mana ulama pun mereka tetap akan mengatakan rambut adalah aurat wanita yang haram ditunjukkan kepada khalayak, kecuali orang tertentu, berdasarkan pandangan hadis. Malah, di antara sesama wanita juga mereka mempunyai syarat menutup aurat.
Mudahnya buat SIS mengeluarkan suatu kenyataan, terutama apabila sesuatu hukum itu tiada dalam al-Quran. Saya yakin, mereka mempunyai ahli yang kerjanya mengkaji al-Quran bagi menafikan perintah dalam hadis, ijmak ulama dan qiyas.
Saya pernah menulis artikel mengkritik kenyataan Latheefa Koya seorang peguam, aktivis sosial dan pemimpin PKR juga dalam portal liberal yang mengatakan hukuman rejam tiada dalam al-Quran. DI SINI
Kenyataan beliau bahawa hukum rejam tiada dalam al-Quran saya kaitkan dengan cara-cara kita bersolat yang mempunyai 13 rukun, seperti mengangkat takbiratul ihram, membaca doa iftitah, taawudz, membaca al-Fatihah, rukuk, i’tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud, sujud kedua dan lain-lain lagi.
Semua cara ini tidak dinyatakan dalam al-Quran! Atau mungkin ahli kumpulan SIS ini hanya pada namanya saja ‘Islam’ tetapi tidak solat?
Apapun, saya percaya jika ditanya kepada orang kampung apakah SIS mereka pasti menggelengkan kepala. Namun, ajaran liberalisme dan sekularisme yang menjadi amalan kumpulan ini harus ditolak dan dijauhi.
Kepada ‘sister-sister’ dalam SIS… BERTAUBATLAH!
P/S: Kita ingin tahu bagaimana ahli SIS solat kerana cara-cara solat tidak ditunjukkan atau diajarkan dalam al-Quran? Mungkin SIS boleh mengajak kumpulan G25, menunjukkan cara-caranya!
Razali bin Zakaria
Pengarang Kanan Ismaweb.net
sumber: http://www.ismaweb.net/2015/06/bertaubatlah-wahai-sister-sister/

No comments:

Post a Comment