Pernah ke mengalami masalah dalam hidup? Mesti pernahkan ? Tidak ada seorang pun terkecuali dari mengalami/ menghadapi masalah / ujian / dugaan / musibah dalam hidup mereka. satu-satunya tempat yang mana manusia tidak akan berhadapan dengan masalah hanyalah di syurga. Di dunia ini masalah adalah kawan karib yang selalu menemani perjalanan hidup kita. Hidup ini juga diibarat seperti roda. Adakalanya kita gembira, dan adakalanya kita bersedih. Bila kesedihan melanda, hati mula terasa pedih, semangat mula terpadam sedikit demi sedikit. Tiada lagi keghairahan untuk melakukan kerja. Tiada lagi kekuatan untuk meneruskan kehidupan. Tiada lagi senyuman yang terpancar di wajah. Semuanya tampak suram. Tiba-tiba dunia menjadi gelap. Sangat-sangat gelap untuk kita.
Wahai rakan..
Ingatlah setiap musibah yang melanda dalam hidup kita itu datangnya dari Allah. Allah tidak memberi musibah kerana Dia zalim pada kita, tidak sama sekali tapi sebaliknya Dia sayangkan kita. Setiap musibah mestilah dirasakan sebagai didikan Allah. Tapi jika kita keluh kesah, ia bertukar menjadi bala. Jika sabar, ia menjadi pahala. Bila kita rasa Allah yang menentukan, mencatur perbuatan manusia, menentukan rasa hati manusia dan Dia di belakang setiap peristiwa, maka tika itu hati kita akan tenang kerana yakin: cubitan dari Kekasih yang Maha Penyayang selamanya akan lebih baik daripada belaian seorang musuh.
Jenis musibah
Terdapat 3 jenis musibah (walaupun pada dasarnya adalah sama) tetapi ia adalah berbeza berdasarkan kepada keadaan penerima dan bagaimana tindakan yang diambil ketika ditimpa musibah itu.
1. KAFARAH
Berlaku ke atas orang yang baik tetapi ketika itu dia terlanjur melakukan kejahatan. Musibah ini diturunkan sebagai "tebusan" untuk menghapuskan dosa dan keterlanjurannya. (Allah membalas di dunia untuk melepaskannya daripada siksaan di akhirat. Musibah ini lebih adalah lebih baik kerana azab di dunia lebih ringan berbanding azab di akhirat.)
kafarah adalah "ujian untuk orang baik yang berbuat jahat". Dengan ujian itu, orang baik akan mendapat peringatan dan amaran atas kelalaian dan keterlanjurannya lalu berusaha untuk bertaubat dan mendapatkan keampunan-Nya.
"Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini kepada beberapa golongan. Antara mereka ada yang soleh dan ada yang tidak sedemikian. Dan kami uji mereka dengan nikmat yang baik - baik dan bencana yang buruk - buruk, agar mereka kembali kepada kebenaran."(surah al - A'raf: 168)
2. BALA
Bala ialah bentuk ujian kepada "orang jahat yang berbuat jahat". Ummat Nabi Nuh yang ditenggelamkan banjir, Firaun yang ditenggelamkan di Laut Merah, Namrud yang dibunuh nyamuk, Qarun yang ditelan bumi adalah antara mereka yang ditimpa bala di dunia lagi sebelum diseksa di akhirat.
“Maka masing - masing (mereka) Kami seksa disebabkan dosanya, maka antara mereka Kami kirimkan kepadanya hujan batu kerikil dan antara mereka yang ditimpa letupan suara yang menggempakan bumi, dan ada yang Kami tenggelamkan di dalam laut, dan ingatlah, Allah sekali kali tidak menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri." (surah al-'Ankabut 29:40)
3. IBTILA'
ujian ke atas "orang baik yang melakukan kebaikan". Golongan para Nabi, siddiqin, syuhada dam solihin ialah mereka yang sentiasa diuji dalam bentuk ibtila' ini khususnya ketika mereka berjuang menegakkan kebenaran, supaya kita mengambil 'brah dan hikmah daraipanya.
Allah s.w.t mengingatkan melaui firman-Nya yang bermaksud :"Apakah patut kamu menyangka kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepada kamu (ujian) penderitaan sebagaimana yang dideritai orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka yang ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan mereka diancam bahaya sehinggalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya merintih : 'Bilakah datangnya pertolongan Allah?'." (surah al-Baqarah 2:214)
Tips bila di timpa musibah
1. mengucapkan kalimat istirja’: iaitu kalimat Innalillaahi wainna ilaihi raaji’uun (sesungguhnya kami semua adalah milik Allah, dan kepada-Nya lah kami akan kembali). Lihat Q.S. Al-Baqarah ayat 156.
2. berdoa kepada Allah, semoga diberi pahala dari musibah yang dihadapi. Sebagaiman diajarkan Rasulullah dalam hadis : Allahumma jurni fi musibati wa akhlif li khairan minha (Ya, Allah berilah aku pahala dalam musibah ini, dan gantikanlah bagiku dengan sesuatu yang lebih baik dari padanya) H.R.Muslim, Ibnu Majjah, Malik dan Ahmad bin Hambal.
3. bersikap sabar dan tidak berputus asa dalam mengahadapi musibah yang menimpanya. Sebagaimana Allah menjanjikan akan mem beri shalawat dan rahmat bagi orang yang mampu bershabar. “Untuk mereka (yang bersabar) itu, shalawat dari Tuhan mereka serta rahmat, dan mereka itu orang yang mendapat petunjuk (Q.S.Albaqarah ayat 185).
Hikmah bila ditimpa musibah:
#1: Allah swt sangat rindu pada kita. Dan Dia mahu kita lebih dekat denganNya.
#2: Allah swt ingin menghapuskan dosa-dosa kita.
#3: Allah swt ingin menambahkan pahala kita
#4: Allah swt ingin meningkatkan iman kita kepadaNya
Bagi orang SABAR, Allah menjanjikan :Sesungguhnya orang yang sabar itu diganjari dengan pahala tanpa hisab." (surah al-Zumar 39:10)
musibah ini merupakan ujian daripada Allah kepada kita. ia juga merupakan tanda tanda Allah ingat kepada kita. so, kita perlu menghadapinya dengan penuh sabar dan tabah. jangan mudah putus asa daripada rahmat Allah.
ReplyDelete