Followers

Sunday, May 24, 2015

Morsi dituduh menghina mahkamah

KAHERAH, Ahad – Bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohamed Morsi hari ini didakwa atas tuduhan menghina mahkamah dalam kes membabitkan 24 lagi anggota Ikhwanul Muslimin.
Sambil menolak perbicaraan itu yang dianggapnya tidak berperlembagaan, Morsi berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakannya, kata saksi.
“Saya menghormati mahkamah tetapi menolak perbicaraan ini. Saya dibawa ke mahkamah ini secara paksa.
“Tidak ada seorang pun yang dibenarkan melawat saya di penjara sejak 7 November 2013,” katanya dari kandang tertuduh mahkamah yang terletak dalam sebuah akademi polis di pinggir Kaherah.
Pada pertengahan 2013, tentera menggulingkan Morsi berikutan tunjuk perasaan besar-besaran ketika hanya setahun usia pemerintahannya.
Dalam perbicaraan hari ini, tertuduh yang lain juga menafikan mereka menghina mahkamah ketika membuat ulasan dalam media.
Mereka termasuk pemimpin aktivis berfahaman sekular, Ala’a Abdul Fattah, yang telah dihukum penjara lima tahun kerana melanggar arahan pengharaman tunjuk perasaan. Beliau mengambil bahagian dalam tunjuk perasaan terhadap bekas Presiden Hosni Mubarak.
Antara yang turut dituduh ialah pengacara rancangan kontroversi TV, Tawfik Okasha dan wartawan terkenan Abdul Halim. Senarai tertuduh yang lain ialah bekas ahli Parlimen dan peguam serta aktivis sosial.
Jika didapati bersalah, mereka boleh dihukum penjara selama setahun dan membayar denda RM4,700.
Hakim Mahkamah Jenayah, Ahmad Abdul Wahab, menangguhkan perbicaraan kepada 27 Julai bagi memberi masa kepada peguam bela untuk meneliti kes.
Morsi juga berdepan satu lagi kes iaitu membocorkan maklumat rahsia kepada Qatar. Beliau boleh dihukum mati jika didapati bersalah.
Minggu lalu, beliau dijatuhi hukuman mati atas tuduhan melarikan diri dari penjara ketika pemerintahan Hosni Mubarak pada 2011. – Agensi
Sumber: www.ismaweb.com

No comments:

Post a Comment